Aku sebuah telefon bimbit dari model Samsung Galaxy Y. Aku diberi nama Hello Kitty. Glamor kan nama aku? Ada aku cakap aku ni limited edition? Ya, aku juga antara telefon yang disenaraikan dalam edisi terhad kerana corak hello kitty yang ada di belakang badanku. Aku berwarna putih dan merah jambu, sangat sesuai untuk mereka yang feminin dan lembut. Pada mulanya aku berwarna putih sahaja, tetapi tanpa kerelaan aku telah dicacah dengan tatu bercorak Hello Kitty yang makin buatkan aku kelihatan comel dan bergaya. Ramai gadis-gadis akan berteriak teruja apabila melihatkan diriku. Sememangnya aku direka khas untuk memenuhi trend remaja masa kini. Setelah siap diproses di kilang, aku dan rakan-rakan diedarkan ke kedai-kedai HP seluruh Malaysia. Aku ditempatkan dalam gelas kaca sebagai pameran kepada pembeli. Walaupun pelbagai jenis smartphone yang lebih gah dan hebat berbanding aku di pasaran, aku masih yakin akan dibeli segera memandangkan aku comel rupanya.
Pada suatu hari yang indah sewaktu aku seronok bersantai bersama telefon yang lain di dalam gelas kaca itu, datang seorang gadis mengintai-intai kami. Gadis itu kelihatan kacak lagi cool jadi aku tidak fikir dia akan berminat padaku, apatah lagi sejak dari awal dia sudah menanyakan tentang si Nokia. Tuan kedai pun menerangkan fungsi dan harga kami kepada gadis misteri itu. Nampaknya dia sudah membuat keputusan utnuk membeli rakan santai di sebelahku, Nokia Asha. Aku baru sahaja ingin mengucapkan tahniah dan selamat tinggal pada Asha tiba-tiba aku terdengar tuan kedai berkata, "Eh baik U beli ini samsung.. limited edition woo.. ade satu je kat kedai saye". Gadis itu seperti tertarik dengan perkatan 'limited edition'. Aku mula berdebar-debar, adakah ini merupakan hari bertuahku? Adakah gadis kacak ini akan menjadi tuan ku?
Dan ye. Kini aku sudah dibeli dan dimiliki seorang gadis bernama cik A. Aku berharap agar kami dapat hidup bersama dengan baik. Aku juga harap cik A dapat menjaga aku seperti menatang minyak yang penuh. Hari-hari terawal kami bersama sangat bahagia. Cik A betul-betul mengambil berat tentang diriku. Beliau takkan sesekali biarkan sebutir habuk pun melekat pada skrin ku. Beliau sangat menjaga keharmonian diriku sehingga sanggup meminta ahli keluarganya mencuci tangan jika ingin menyentuhku. Aku mula rasa selamat hidup bersama cik A. Aku berjanji akan berbakti penuh setia kepada cik A yang disayangi.
Hari demi hari berlalu, kami telah banyak mengumpulkan kenangan indah bersama. Aku takkan lupa bagaimana cik A membawa ku dan menunjukkan kepada kawan-kawan sekelasnya. dan sentiasa bangga akan rupa ku yang limited edition. Aku juga masih ingat bagaimana cik A teruk diejek dan diketawakan mereka kerana rupaku yang sungguh pink tidak sesuai dengannya yang kacak lagi cool. Walaupun ramai menghalang hubungan kami, aku tetap ingin bersama cik A. Pernah juga cik A membawaku menaiki bukit, berlari ke pantai, menaiki atas bot, motorsikal dan menangkap banyak gambar menarik walaupun kamera ku tidak terang dan kualiti yang sedikit mengecewakan. Aku juga seronok apabila cik A suka melambung-lambung tubuhku - terasa seperti berada di awangan. Cik A juga seorang yang adventure, beliau pernah meletakkan ku di hadapan kereta dan memandu dengan riang semata-mata ingin merekodkan perjalanannya ke pantai. walaupun aku mungkin terjatuh dan hancur, aku bangga dapat berkhidmat di bawah suasana ekstrem kawalan cik A.
Namun, beberapa minggu kemudian, aku mula lupa bahawa diriku adalah si Hello Kitty limited edition. Mungkin kerana aku dilayan dengan begitu ekstrem. Secara jujur, cik A seorang yang sangat pelupa. Beliau selalu meletakkan aku merata-rata tempat dan lupa di mana kedudukan asalku. Pernah aku ditinggalkan bawah katil yang sunyi dan gelap itu untuk sehari suntuk. Ah, bunyi lipas yang berdecit itu membuatkan ku trauma! Aku juga pernah terjatuh dari tempat yang tinggi beberapa kali kerana kecuaian cik A. Badanku sangat sakit tetapi aku hanya henfon yang lemah dan tak berdaya untuk meluahkannya. Pernah juga cik A tercampakkan diriku ke dinding sehingga aku terhempas dan jatuh terperosok ke bawah katil, hari yang sama juga cik A meletakkan aku di pahanya dan terjatuhkan aku sewaktu dia bangun - sekali lagi aku terhempas di atas jalan raya yang bertar. Aku sudah lali dengan adegan jatuh dan hempas ini, jika ada pengarah yang ingin pelakon aksi ngeri, mungkin aku boleh menawarkan diri. terima kasih kepada cik A.
Kejadian paling tragis terjadi sewaktu cik A dan kawan-kawan keluar berjalan dengan kereta. Dia betul tidak perasan akan kewujudanku dan telah terjatuhkan ku secara tidak sengaja di atas jalan raya. Aku berharap agar dia cepat mengutipku semula tetapi aku silap. Dia pergi membeli kotak, aiskrim, nasi kerabu dengan penuh gembira tanpa menyedari aku yang tersiksa, kepanasan dan ketakutan atas jalan yang penuh kenderaan ini. Takkan ku lupa bagaimana bas yang besar itu betul-betul melalui sebelahku - kalaulah aku dilenyekkan, secebis bateri pun takkan tinggal. Aku tidak henti-henti berdoa agar diselamatkan - dan tidak berapa lama kemudian cik A kembali. Dia betul-betul terkejut dan trauma. dia terus mengambil dan memelukku dengan penuh rasa bersalah. Aku baru sahaja ingin memaki hamunnya tetapi apabila melihat betapa menyesal dan bersalah wajahnya, hati aku berasa sejuk sedikit. Dia meminta maaf berkali-kali padaku dan berjanji tidak akan mengabaikan ku lagi. Aku percaya janji itu. Lima minit kemudian, dia menuduh aku yang keluar merayau dan mendenda ku dengan mengurungku kedalam kotak kuning yang baru dibelinya tadi. Aku pasrah! =.=
Apa yang buatkan aku gembira sedikit apabila semua kawan cik A memihak kepadaku. Mereka semua teruk memarahi cik A atas layanan teruknya padaku dan bersimpati pada nasibku yang malang. Mereka juga menegur gaya cik A yang suka mencampakkan ku ke mana sahaja beliau suka dan memaksa cik A memegangku dengan lembut. Aku rasa terharu kerana nasibku terbela juga. Paling aku terharu apabila salah seorang kawan cik A begitu beria ingin membeliku darinya. Tak sangka seburuk aku ini masih ada orang lain yang ingin memiliki. Ingin sahaja aku menjerit pada cik A, " jual je lah aku!!!". (Cik A memang kejam. Dia suka menawarkan aku pada orang lain dengan harga yang lebih tinggi.) Jika ingin salahkan sesiapa, aku akan salahkan tauke kedai kerana menghasut cik A membeliku. Mungkin Asha sedang bahagia bersama tuannya sekarang ini. Walaupun betapa geramnya aku dengan cik A, aku kena akui dia masih tuan ku dan aku berjanji untuk berbakti kepadanya hingga ke hujung nyawa. (ececeh...) Baru-baru ini, cik A telah bertaubat. dia telah mengambil iktibar dan mendengar nasihat kawan-kawannya lalu menjaga ku dengan baik seperti hari-hari terawal dia memiliki diriku.
Aku mula mendapat keyakinan baru untuk hidup dengan megah sebagai si hello kitty limited edition.
Sehinggalah....
Encik Aqieyl (3tahun), anak buah kepada cik A membuat dakwaan aku miliknya.
Hm, selamat tinggal dunia. :)
Tamat.
P/s : Sedihkan kisah ini. Sesiapa yang bersimpati pada Hello Kitty bolehla menderma dengan cara taip RM10, RM20 atau RM50 ke 55888.